Itik muscovy tempatan dikenali sebagai itik nila atau itik serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging.Baka yang berwarna putih pada keseluruhan badan merupakan jenis yang di import berkualiti tinggi khusus untuk pengeluaran daging secara komersil.
Pusat Pembiakan Itik, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Kg Paya Jaras Hilir adalah satu- satunya ladang yang menghasilkan anak itik komersil pedaging jenis muscovy di Malaysia. Pada tahun 1992, pusat ini telah mengimport sebanyak 500 ekor induk baka tulen dari Perancis bagi menghasilkan anak itik komersil yang bermutu dan dibekalkan kepada penternak- penternak kecil sekitar Selangor dan Pulau Pinang. Sejak itu pengeluaran terus di tingkatkan.
Pusat ini terus giat memperkenalkan dan meningkatkan pengeluaran selari dengan permintaan orang ramai. Dari tahun ke tahun didapati ‘trend’ permintaan bagi setiap tahun kebiasaannya meningkat mengikut musim perayaan kaum cina seperti pada perayaan Kuih Bulan dan Tahun Baru Cina tetapi keadaan ini mula berubah sejak akhir- akhir ini kerana telah dipengaruhi oleh permintaan dan penyertaan pesawah padi/ petani melayu secara kecil- kecilan tajaan Jabatan Pertanian di seluruh negara di bawah kawalan makhluk perosak.
Anak itik yang dihasilkan oleh pusat ini kebanyakkannya ( 60% ) dibekalkan kepada penternak- penternak kecil yang menternak antara 100- 300 ekor secara ‘ all in all out ‘ selebihnya kepada penternak semi komersil yang menternak 300-1500 ekor sepusingan. Oleh kerana perusahaan ini masih baru dan keistimewaan yang ada pada itik muscovy memberi peluang kepada industri ini berkembang dengan baik, seterusnya menyumbang dalam memenuhi keperluan daging negara dan juga untuk eksport.
Pembangunan Ladang
Pemilihan dan mendapatakan kawasan yang sesuai sangat penting dan memulakan perancangan yang baik
agar suasana dan persekitaran nyaman dan selesa untuk itik membesar dan memudahkan pengurusan harian. Kemudahan bekalan air untuk ternakan dan mencuci serta bekalan elektrik perlu ada. Tanah bekas lombong, kawasan tinggi atau kering ladang kelapa sawit sesuai untuk pengurusan sistem ‘deep litter’ sama ada secara intensif atau separa intensif.
Cuaca negara kita sentiasa panas dan lembap, reban perlu direka bentuk untuk mengurangkan tegasan iklim, memberi pelindungan itik semasa peringkat membesar sehingga peringkat jual. Reban dibina menggunakan kayu dan beratap rumbia atau zink. Bumbung berbentuk double ridge dan dinding terbuka membantu pengudaraan. Tinggi minima bahagian tengah 14 kaki, tepi 8 kaki dan cucur tepi kira –kira 5 kaki bagi mendapat suasana selesa, pengudaraan yang baik dan terhindar dari tempias ketika hari hujan. Reban berukuran 300 kaki panjang dan 24 kaki lebar boleh memuatkan 5000 ekor itik sehingga peringkat jual. Selain bahagian reban penyediaan bahagian legar berpagar depan reban perlu, terutama musim panas.Lantai simen mengelakkan kelembapan dan memudahkan pembuangan sarap setiap kali selesai satu pusingan ternakan.
Kemudahan jalan dan sistem perparitan dan saliran yang baik perlu ada. Bekalan elektrik dan air yang bersih untuk minuman dan cucian sangat perlu.
Peralatan:
Zink licin setinggi 11/2 kaki disambung menggunakan penyepit/penyokong kayu dibentuk bulat keliling dengan panjang rentas 8 meter untuk menampung setiap 1000 ekor anak itik.
Sekam padi atau habuk papan digunakan sebagai alas lantai simen. Sarap perlu di urus dengan baik, jika basah ianya harus dibuang dan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan lantai reban sentiasa kering.
Set pemanas jenis LPG sesuai digunakan. Alat ini digantung di tengah-tengah kepungan dan dipasang 1- 2 jam sebelum ketibaan anak itik bagi menyediakan suasana persekitaran yang hangat dalam perindukan.
Bidai/ dinding plastik sangat diperlukan diperingkat perindukan sahaja iaitu pada itik berumur 1 hingga 3 minggu bagi melindungi ternakan dari angin sejuk malam dan ketika hari hujan.
Bentuk dan saiz bekas makanan dan minuman berbeza mengikut umur itik. Bilangan juga perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan itik mendapat makanan dan minuman yang mencukupi.Bekas air
berbentuk tabung 1 dan 2 gelen juga palung automatik digunakan. Bekas makanan berbentuk dulang, palung papan panjang dan jenis kotak sesuai untuk itik daging.
Operasi dan pengurusan
Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat:-
Tempoh perindukan anak itik pedaging dari umur sehari hingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Pada hari ketibaan anak itik dikira, ditimbang dan terus di masukkan ke dalam kepungan. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera. Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius. Setelah itik minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal. Palong minuman sebaiknya dilapik dengan dulang bagi mengurangkan kecah dan kelembapan sarap. Palong minum diletak berselang- seli dengan palong makanan keliling dalam kepungan.
Bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan. Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit- himpit di satu tempat. Jika terlalu panas anak itik akan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan. Bidai mula diselak secara beransur- ansur selepas 2 minggu. Peringkat 3 hingga 4 minggu, bidai di gulung sepenuhnya kecuali hari hujan lebat. Kepungan dan alat pemanas di keluarkan. Dulang makanan anak ditukar kepada palong panjang. Makanan peringkat pembesar berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya. Palong minuman kecil ditukar pada palong automatik kerana diperingkat ini itik mula minum dengan banyak.
Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat. Untuk menyediakan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi, makanan mula diisi di dalam bekas berbentuk peti. Pada waktu siang dan cuaca panas, pintu reban dibuka bagi membolehkan itik keluar ke ruang legar depan reban.Elakkan itik dari gangguan pengurusan dan tegasan iklim sehingga sampai waktu dipasarkan.
Pengurusan yang baik akan menghasilkan pembesaran itik yang baik
Pengeluaran yang baik bergantung pada makanan ternakan yang bermutu.Makanan permulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 % CP dan makanan pembesar (finisher pellet) mengandungi 16- 18 % CP. Makanan permulaan adalah untuk anak itik umur sehari sehingga 3 minggu dan makanan pembesar adalah untuk peringkat 4 minggu hingga jual.Dedak komersial boleh didapati di pasaran.
Kesihatan dan Amalan yang Baik
* Itik yang sihat menentukan keuntungan. Pengurusan yang baik dapat mengawal kadar kematian di paras 3 % setiap kumpulan.
* Program suntikan pelalian perlu diamalkan bagi mengelakkan penyakit berpunca dari virus tertentu. Khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan perlu diterap dalam pengurusan harian.
* Memotong paruh juga perlu dilakukan kerana itik muscovy mempunyai paruh yang mencangkuk ( tajam). Dalam keadaan stress selalunya pada umur 2-3 minggu itik akan patuk-mematuk bahagian belakang dan bulu yang baru tumbuh.
* Mengawal kemasukan penyakit dengan mengawal pergerakan pelawat, pekerja, kenderaan. Menyediakan ‘foot-bath’ membasmi kuman di hadapan setiap pintu masuk ladang/reban sangat-sangat diperlukan.
* Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.
* Penternakan itik juga perlu diurus dengan baik dan mesra alam.
* Air cucian dari reban perlu di salurkan ke dalam kolam kumbahan yang disediakan oleh pihak ladang.Itik yang mati tidak wajar di buang merata- rata bagi mengelakkan pencemaran bau dan penaykit.
* Lubang pembuangan itik mati yang bertutup papan tebal sedalam 4 hingga 6 kaki dalam perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini.
Ladang perlu mewujudkan dan mengamalkan sistem rekodan yang baik.Data- data boleh membantu pengusaha menganalisis pengurusan bagi membaiki kelemahan dan meneruskan usaha, pencapaian yang baik bagi menjamin keuntungan yang lumayan dan berterusan.
Pemasaran
Daging muscovy pasarannya masih kecil berbanding dengan pemasaran itik peking, pemasarannya masih terhad dan hanya tertumpu pada musim perayaan. Ianya di jual diperinggkat ladang, diproses di rumah sembelih dan dipasar segar di seluruh Malaysia.
Sistem integrasi bersepadu pemeliharaan itik pedaging jenis peking telah dimulakan oleh beberapa syarikat.
Penternak itik dipilih oleh syarikat dengan syarat penternak mesti mampu membina reban sendiri. Syarikat bertanggungjawab membekal anak itik dan makanan kepada penternak dan kemudiannya membeli balik itik yang
telah memcapai umur sembelihan dengan harga yang telah dijanjikan sebelumnya. Itik muscovy juga diharapkan akan diusahakan secara sepadu seperti ini tidak lama lagi.
Pasaran dalam negeri terhad kepada itik yang bersaiz kecil (betina) dan itik jantan yang berumur dalam lingkungan umur 11 minggu dengan berat 3.8 kg. Pasaran Singapura terutama musim perayaan mengkehendaki itik jantan
yang bersaiz besar purata 4.5 kg.
Pentarnak kecil memasarkan itik kepada pemborong atau orang tengah. Itik dimuatkan kedalam bakul yang serupa dengan bakul ayam yang boleh memuatkan antara 8 hingga 10 ekor dan diangkut ke rumah sembelih
dengan menggunakan lori. Itik yang sudah diproses (chilled) diedarkan kerestoran-restoran cina dan juga hotel.
Harga pasaran itik hidup di semenanjung ialah diantara RM3.80 hingga RM4.20 dan meningkat kepada RM6.50 pada musim perayaan. Manakala harga itik proses ialah antara RM6 hingga RM9 dan meningkat kepada RM12 pada musim perayaan.
Promosi merupakan satu elemen yang penting bagi meningkatkan penjualan di mana ianya dapat memberi dan meningkatkan kesedaran serta pendidikan di kalangan masyarakat terhadap khasiat dan keenakan daging muscovy terutama kepada masyarakat melayu dan india. Promosi haruslah dijalankan secara berterusan dan berkesab melalui media massa dan elektronik seperti program pendidikan di sekolah, promosi prodak dan masakan di seluruh Malaysia. Daging muscovy amat sesuai dimasak dengan cara merebus (stew) dan ianya sangat popular di Pulau Pinang, Sarawak dan Singapura. Ia juga sesuai untuk masakan melayu dan india seperti rendang dan kari.
No comments:
Post a Comment